Skuad skuasy wanita negara memerlukan sesuatu yang luar biasa dalam misi mempertahankan satu emas dalam Sukan Komanwel Gold Coast, 4-15 April depan.

Ketika ini, prestasi tidak menentu Datuk Nicol David berterusan, malah kehilangan khidmat tonggak, Low Wee Wern.

Terkini, Nicol ditunjuk jalan keluar seawal pusingan pertama dalam Kejohanan Terbuka Windy City di Chicago, Amerika Syarikat.

Pemerhati sukan negara pasti resah jika turut mengambil kira penyingkirannya dalam suku akhir di dua kejohanan pertama musim ini, bulan lalu.

"Nicol sedang melalui tempoh yang sukar tetapi kami masih lagi meletakkan harapan kepadanya kerana dia mampu mempamerkan persembahan cemerlang dalam kejohanan yang besar," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam.

Dalam perkembangan berkaitan, Wee Wern pula yang dalam misi mencipta kebangkitan semula, gagal mendapat lampu hijau daripada Institut Sukan Negara (ISN) untuk ke Gold Coast.

Difahamkan Wee Wern tidak menepati beberapa kriteria dalam pemulihan kecederaan lutut serius ketika kelangsungan kerjayanya untuk tempoh jangka panjang menjadi keutamaan.

Tempat Wee Wern akan digantikan pemain meningkat naik negara, Aifa Azman.

"Saya agak kecewa kerana Wee Wern tidak disenaraikan. Tetapi kami cuba melihat kepada sudut positif mengenai perkara ini kerana mahu memastikan atlet itu pulih sepenuhnya," tambah Maniam.