Skuad powerlifiting negara dilihat berpeluang menjadi antara penyumbang pingat dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 biarpun hanya bersandarkan kepada dua atlet.

Untuk edisi kali ini, Malaysia mempertaruhkan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Glasgow 2014, Jong Yee Khie, dan seorang atlet muda berusia 19 tahun, Bonnie Bunyau Gustin.

Biarpun ini merupakan penampilan pertama Bonnie, dia tetap mempunyai reputasi yang hebat di pentas antarabangsa.

Anak jati Sarawak ini merupakan pemegang rekod dunia remaja selepas melakukan angkatan 157kg dalam Kejohanan Powerlifting Dunia, Fazza di Emiriah Arab Bersatu, Februari lalu.

"Saya akan cuba mendapatkan pengalaman beraksi dalam kejohanan di peringkat tertinggi," kata Bonnie.

"Latihan dijalankan seperti biasa dan kami sangat serasi dengan jurulatih kami (Jamil Adam)," kata Yee Khie.

Dengan reputasi serta prestasi semasa yang meyakinkan, tidak mustahil powerlifting mampu menjadi penyumbang pingat untuk kem negara.

"Bagi saya, sasaran pingat adalah objektif kami," kata ketua jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam.

Sukan Komanwel Gold Coast 2018 menawarkan dua emas bagi acara heavyweight 72kg ke atas dan lightweight 72kg ke bawah.

Dan untuk Yee Khie, dia terlebih awal lagi sudah memasang impian mahu menggenggam emas di Gold Coast selepas sekadar berpuas hati berada di tempat ketiga, empat tahun lalu di belakang peserta Nigeria, Abdul Azeez Rahim, dan Rajinder Rahelu dari India.

"Beraksi buat kali kedua, saya sudah bersedia untuk menampilkan angkatan terbaik," kata Yee Khie lagi.