Pemerhati sukan negara, Dr Mohamad Faithal Hassan, membidas pegawai Program Podium yang enggan mengumumkan sasaran pingat kontinjen negara Sukan Komanwel Gold Coast bulan depan selepas program itu menelan belanja jutaan ringgit.

Sukan Komanwel Gold Coast bakal bermula tidak lama lagi tetapi kontinjen negara mengambil keputusan untuk tidak meletakkan sebarang sasaran pingat dalam memastikan atlet-atlet negara tidak menghadapi tekanan bagi menyumbangkan pingat.

Bagaimanapun, adakah ia dilihat sebagai satu tindakan yang wajar?

Faithal menyifatkan jalan ini sebagai sikap yang tidak bertanggungjawab kerana program kecemerlangan atlet telah pun menelan jutaan ringgit bagi memastikan mereka mampu menampilkan persembahan cemerlang di pentas antarabangsa.

"Pada pandangan saya, ia merupakan satu sikap yang tidak bertanggungjawab kerana Program Podium ini telah menelan jutaan ringgit bagi memastikan kecemerlangan atlet di pentas antarabangsa serta mendapatkan khidmat pegawai-pegawai dari luar negara," katanya.

Faithal turut menyifatkan tekanan tidak seharusnya dilihat sebagai satu masalah yang besar kerana ia mampu menjadi pendorong kepada atlet untuk menampilkan persembahan terbaik.

"Apa sahaja kejohanan yang disertai atlet mempunyai tekanan. Tetapi ia bukan masalah besar, malah tekanan boleh diubah untuk menghasilkan keputusan yang positif," tambahnya.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham, pula menyifatkan sokongan harus diberikan kepada atlet dalam usaha untuk memastikan mereka berjaya menonjolkan persembahan sebenar dalam kejohanan yang disertai.

"Jika sasaran diberikan kepada atlet, ia secara tidak langsung memberikan tekanan kepada mereka. Saya cuba mencari jalan untuk memastikan sokongan terus diberikan kepada atlet bagi memastikan mereka mampu memberikan kejayaan kepada negara," kata Newenham.