Sukan Komanwel edisi ke-21 secara rasminya bermula selepas berlangsungnya upacara pembukaan gilang-gemilang di Stadium Carrara, Gold Coast, sebentar tadi.

Upacara yang melibatkan 4,000 wakil persembahan itu diadakan di depan 35,000 penonton, termasuk penampilan istimewa Teater Tarian Bangarra dan Ricki-Lee Coulter.

Berbekalkan tema "Share The Dream", untuk pertama kali dalam sejarah penganjuran kejohanan utama, Sukan Komanwel kali ini menawarkan jumlah pingat sama rata buat lelaki dan wanita.

Temasya Gold Coast 2018 bakal menampilkan aksi daripada wakil 71 negara Komanwel yang akan mengambil bahagian dalam 275 acara daripada 18 jenis sukan.

Antara wakil daripada pihak tuan rumah yang memegang tanggungjawab membawa baton Komanwel adalah bekas jaguh renang Australia, Susan O'Neill, bekas pelumba basikal, Brad McGee, legenda Paralimpik, Kurt Fearnley, Brent Livermore (pemain hoki Australia) dan jaguh 100 meter berpagar dunia, Sally Pearson.

Sebelum itu, bendera Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) telah dibawa oleh enam atlet dari negara yang menyertai kejohanan, iaitu Brendan Williams (Dominica), Natalie du Toit (Afrika Selatan), Alison Shanks (New Zealand), Nicole Forrester (Kanada), Colin Gregor (Scotland) dan Rhona Toft (Scotland).

Seramai 180 atlet normal dan para yang mewakili Malaysia berarak di Stadium Carrara sambil diketuai atlet lompat kijang kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail, yang membawa Jalur Gemilang, serta ketua kontinjen, Huang Ying How.

Selepas meraih enam pingat emas di Glasgow, Scotland empat tahun lalu, Malaysia menyasarkan untuk mengatasi pencapaian tersebut dan meletakkan kelompok 10 terbaik sebagai sasaran utama.