Pengalaman beberapa pelumba senior dalam skuad berbasikal trek negara menjadi sandaran dalam membantu rakan sepasukan yang lebih muda menghadapi cabaran dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.

Secara keseluruhan, skuad berbasikal trek kendalian John Beasley mempunyai kemampuan pada tahap tertinggi untuk mengibarkan cabaran Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya buat juara dunia acara keirin, Azizulhasni Awang, serta pemenang empat pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Fatehah Mustapa.

Tidak dinafikan pengalaman kedua-dua pelumba ini yang pernah terbabit dalam saingan peringkat Sukan Olimpik pastinya membantu beberapa pelumba yang sedang meningkat naik ketika ini.

Itu antara harapan yang disuarakan ketua kontinjen negara ke Sukan Komanwel, Huang Ying How, dalam membicarakan peluang skuad berbasikal trek negara di Gold Coast nanti.

"Saya berharap atlet yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik dan Sukan Komanwel untuk memberikan tunjuk ajar kepada atlet yang membuat penampilan pertama di Gold Coast nanti," katanya.

Terdahulu Ying How meninjau persiapan skuad berbasikal trek negara, termasuk pelumba para, Afiq Afify Rizan, bersama jurumudinya, Khairul Adha Rasol, yang turut tersenarai ke Gold Coast.

Walaupun ada pelumba yang pasti menjadi sandaran untuk meraih pingat, beliau mahu melihat setiap pelumba mempamerkan persembahan pada peringkat tertinggi, apatah lagi mereka sebahagian daripada Program Podium kendalian Institut Sukan Negara (ISN).

"Walaupun kami telah menyasarkan atlet-atlet yang mampu meraih pingat, saya mahu melihat daripada segi peningkatan dalam persembahan serta melakukan catatan masa yang lebih baik," ujarnya.