Skuasy dalam saingan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 menawarkan perspektif apakah Datuk Nicol David masih lagi berupaya bangkit menjadi sandaran emas atau memberikan ruang kepada bakat meningkat naik membuktikan keupayaan.

Skuasy mempunyai sejarah bersifat tradisi buat Malaysia sejak pertama kali pertama dipertandingkan pada edisi Kuala Lumpur 1998.

Meskipun memiliki pengaruh dalam sukan raket ini, kontinjen seperti Australia, England dan New Zealand memiliki pencapaian lebih baik daripada Malaysia.

Dua emas disumbangkan Nicol sepanjang dua edisi terdahulu di New Delhi 2010 dan Glasgow 2014 sewaktu dia berada di kemuncak prestasi.

Bagaimanapun, prestasi Nicol yang semakin merosot sejak kebelakangan ini kerana faktor usia, meningkatkan persoalan adakah Nicol masih berupaya mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

"Nicol mungkin gagal mempamerkan persembahan cemerlang musim ini tetapi dia memiliki peluang cerah untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi. Nicol adalah seorang legenda sukan skuasy," kata pemain skuasy wanita negara, S. Sivasangari.

Bagaimana pula dengan skuad lelaki yang diketuai Nafiizwan Adnan, adakah mereka ke Gold Coast sekadar berpeluk tubuh?

"Setiap pemain mengambil bahagian yang penting untuk memberikan keputusan yang positif dan ia akan membenarkan kami menghasilkan kejutan di Gold Coast," kata pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow.

Selepas meraih emas dalam Sukan SEA 2017, temasya Gold Coast 2018 bakal menjadi pentas terbaik buat Sivasangari dan Eain Yow untuk menyinar.

Kehadiran mereka dalam kontinjen negara adalah sebagai antara wakil paling muda pernah dihantar Malaysia menghadapi temasya itu.

"Saya sangat berbangga untuk membuat penampilan kali pertama. Ia akan menjadi cabaran yang sukar berdepan lawan yang lebih berpengalaman," kata Sivasangari lagi.

"Saya sangat teruja untuk beraksi kali pertama dalam Sukan Komanwel. Kami sepasukan telah berusaha dengan baik bagi menghadapi saingan kali ini," kata Eain Yow pula.