Pemain skuasy yang sedang meningkat naik, S. Sivasangari, tetap percaya Datuk Nicol David berupaya mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, dari 4 hingga 15 April ini.

Prestasi Nicol pada tahun ini masih belum menampakkan sinar bahawa dia berupaya kembali kepada keupayaan sebenarnya setelah mengambil kira keputusan dalam tiga kejohanan musim ini -- dua penampilan dalam suku akhir dan penyingkiran seawal pusingan pertama Kejohanan Terbuka Windy City di Chicago, Amerika Syarikat, hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, Sivasangari tetap berpandangan Nicol adalah harapan terbaik negara memandangkan pemain berusia 19 tahun ini perlu beraksi dalam acara beregu di samping Rachel Arnold.

"Saya yakin Nicol berusaha keras untuk mengembalikan sentuhannya. Biarpun tidak mengharungi tahun ini dengan baik, dia pasti akan memberikan 100 peratus di dalam gelanggang.

"Apapun, dia merupakan legenda Malaysia.

"Sukar untuk saya bersaing dalam acara perseorangan wanita memandangkan ramai pemain dalam kelompok 30 terbaik dunia juga akan membawa cabaran.

"Jadi, saya fokus dengan gandingan saya, Rachel Arnold, kerana dalam acara beregu, ia sukar dijangkakan," ujarnya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu turut mengesahkan tiada kejohanan saat akhir untuk dijadikan medan pemanas badan.

Latihan pusat di Bukit Jalil bersama skuad negara disifatkan sebagai sudah memadai sebelum mereka ke Gold Coast pada 31 Mac ini.

"Bulan lalu, saya menyertai tiga kejohanan di Amerika Syarikat dan sempat mengadakan kem latihan di sana selama seminggu.

"Saya telah menjalani persiapan dengan baik dalam tempoh beberapa bulan terakhir ini, saya sentiasa memberikan usaha terbaik," katanya.