Skuad gimnastik artistik wanita negara hanya fokus kepada sesi latihan intensif di Malaysia tatkala dua gimnas lelaki akan beradu kekuatan dalam Siri Piala Dunia di Doha, Qatar sebelum terbang ke Gold Coast.

Bukan menidakkan kebolehan skuad gimnas wanita negara tetapi hakikatnya peluang untuk meraih pingat adalah tipis buat mereka di pentas Sukan Komanwel.

Apa yang pasti, enam atlet terbabit bersikap realistik untuk menempatkan diri dalam pusingan akhir dan ia merupakan bonus sekiranya mampu meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Farah Ann Abdul Hadi, Tan Ing Yueh, Tracie Ang dan Nur Azira Aziri merupakan taruhan yang dipilih jurulatih, Nataliya Sinkova, dengan Azira merupakan atlet terakhir melengkapkan kuota empat gimnas ke Gold Coast.

Dua gimnas lelaki, Jeremiah Loo dan Tan Fu Jie, pula dipilih bersandarkan prestasi cemerlang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu.

Jika diikutkan perancangan yang telah ditetapkan, empat gimnas wanita itu tidak akan terlibat dengan mana-mana kejohanan, sebaliknya hanya fokus kepada sesi latihan.

Apatah lagi, selepas Ing Yueh yang bakal mengetuai cabaran skuad negara terpaksa menerima hakikat berdepan kecederaan buku lali kiri pada saat-saat akhir dan kini dalam proses pemulihan.

"Buat masa ini, saya perlu berjaga-jaga dengan kecederaan buku lali saya serta menjalani proses pemulihan," kata Ing Yueh.

"Saya perlu gilap lagi rutin saya dan mengelak daripada melakukan kesilapan," kata Azira.

Fu Jie dan Jeremiah pula mahu menggunakan peluang terakhir bagi memanaskan badan di Doha sebelum terbang ke Gold Coast.

Ini kerana prestasi hambar dalam Siri Piala Dunia di Melbourne, Australia hujung bulan lalu masih belum cukup untuk mereka menilai kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Beraksi di Melbourne, saya agak gugup dan berharap untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang di Doha nanti," kata Jeremiah.

"Saya berharap di Doha nanti, saya dapat mengawal tekanan dan cuba melakukan rutin yang lebih sempurna," kata Fu Jie.