Boling padang merupakan sukan asing bagi penggiat sukan di negara ini, khususnya apabila mula diperkenalkan secara meluas dalam Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 dan dari detik itulah, legasi boling padang bermula.

Pelbagai onak dan duri ditempuhi Norhashimah Ismail dan Siti Zalina Ahmad sepanjang dua dekad menabur bakti sebagai atlet boling padang negara.

Mereka berdua merupakan generasi terawal yang mempelopori boling padang di Malaysia.

Semangat juang tetap tinggi meskipun hanya Zalina yang akan meneruskan perjuangan dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Biarpun sekadar meraih pingat gangsa acara berpasukan dalam Sukan Komanwel 1998, kejayaan mereka berdua membuka mata ramai penggiat sukan.

Perjudian mereka berdua untuk menukar profesion sukan nyata memberi pulangan setimpal.

"Saya diperkenalkan sukan ini oleh kakak angkat yang ketika itu berkhidmat dengan sebuah unit sukan universiti tempatan.

"Dia menggesa saya mengikuti kursus pengenalan boling padang dan dia menekankan bahawa sukan ini akan dipertandingkan dalam temasya Kuala Lumpur 1998," kata Norhashimah.

Setiap kali menyertai Sukan Komanwel mahupun Sukan SEA, mereka berdua sering kali menjadi penyumbang pingat.

Nama Zalina pasti dikenang dalam lipatan sejarah Sukan Komanwel apabila memenangi dua pingat emas berturut-turut di Manchester 2002 dan Melbourne 2006.

"Nak menang itu mudah tetapi proses yang ditempuhi untuk mempertahankan kejuaraan dan masa pertandingan sebenarlah yang mendatangkan kepuasan," kata Zalina pula.

Sementara itu, walaupun hampa tanpa kilauan pingat di Manchester, Norhashimah menebus kekecewaanya dengan merakamkan emas dalam acara trio di Melbourne.

Secara keseluruhannya, Hashimah telah meraih lima emas Sukan SEA serta satu emas dan dua perak Sukan Komanwel.

Zalina pula menerusi pencapaian dua emas dan satu gangsa dalam Sukan Komanwel manakala tiga perak dalam Sukan SEA.

Paling manis buat Zalina, dia pernah muncul juara Kejohanan Dunia dalam acara perseorangan pada 2015.

"Zalina adalah salah seorang inspirasi saya. Karakter kami di dalam gelangggang adalah garang dan sangat fokus," kata pemain boling padang wanita negara, Emma Firyana Saroji.

Hashimah, 46, dijangka mengucapkan persaraan selepas temasya Gold Coast 2018 sementara Zalina, 38, pula masih mahu ingin berbakti jika terus diberi peluang.