Ketiadaan gimnas negara, Izzah Amzan, di Gold Coast mencetuskan kebimbangan ketua jurulatih negara, Lidia Legotina, dalam usaha membutirkan emas bagi acara berpasukan dalam saingan Sukan Komanwel kali ini.

Dua gimnas negara, Amy Kwan dan Koi Sie Yan, sudah dua hari menjalani latihan di Gold Coast tetapi kelibat Izzah masih belum kelihatan ekoran penerbangannya yang ditunda sehingga Jumaat ini kerana masalah visa jurulatihnya, Yulia Ivanova.

Legotina bimbang kelewatan Izzah tiba akan mendatangkan masalah untuknya menyesuaikan diri dengan persekitaran venue pertandingan yang mampu menjejaskan persembahannya secara keseluruhan.

"Ia tertangguh kerana Australia tidak memberikan visa buat jurulatih kedua. Tiada apa yang boleh kami lakukan selain menerima keadaan itu.

"Dia akan berlepas pada 6 April dan tiba di sini pada 7 haribulan dan kemungkinan besar dia akan memulakan persiapan di sini pada keesokan harinya. Kami harus menyemak jadual," katanya.

Sementara itu, Amy berpuas hati dengan segala kemudahan yang disediakan di Gold Coast kecuali lantai yang agak licin, namun masih ada masa untuk mereka cuba membiasakan diri dengan situasi itu.

"Hari ini adalah hari kedua untuk sesi latihan buat kami dan segalanya tampak bagus, sama seperti ketika di Kuala Lumpur.

"Ia agak licin tetapi kami mampu mengatasinya. Bagaimanapun, venue latihan menjadi semakin bagus buat kami," ujar Amy.