Penolong Setiausaha Kehormat, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berharap kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2018 perlu diberi sasaran pingat emas bagi merealisasikan harapan berada dalam kalangan 10 negara terbaik di Gold Coast.

Kok Chi memandang baik hasrat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, yang mahu melihat kontinjen negara mampu berada dalam kalangan 10 terbaik.

Ia akan memperbaiki pencapaian di Glasgow empat tahun lalu apabila kontinjen negara sekadar di tempat ke-12 dengan pencapaian enam pingat emas.

Bagaimanapun, Kok Chi mahu sasaran emas diletakkan sambil optimis mereka mampu membawa pulang lebih daripada lapan pingat emas.

"Sasaran perlu ada. Ia akan membantu kontinjen negara untuk terus mempamerkan prestasi cemerlang dalam Sukan Komanwel," kata Kok Chi.

Mengenai pemilihan Jawatankuasa Eksekutif MOM yang akan berlangsung Jun ini, Kok Chi menyambut baik mana-mana pihak yang mahu bertanding, termasuk Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

Cuma Kok Chi yang bakal meninggalkan MOM selepas ini, mahu barisan kepimpinan yang akan menggalas tugas penggal akan datang, tidak melupakan tanggungjawab di persatuan sukan masing-masing.

"Siapa yang mahu memegang jawatan di MOM perlu menilai diri sendiri sama ada mempunyai masa untuk menjalankan tugas," katanya.