Atlet menembak negara, Johnathan Wong, mengakui aspek mentalnya perlu berada di tahap terbaik menjelang Sukan Komanwel Gold Coast jika mahu memastikan kilauan pingat
buat kontinjen negara.


Johnathan mencetus sensasi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu apabila meraih 238.30 mata untuk meraih emas saingan 10 meter air pistol serta menewaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik dari Vietnam, Hoang Xuan Vinh.

Bagaimanapun, untuk mengekalkan aksi konsisten di Gold Coast, Johnathan menyedari aspek mental turut memainkan peranan penting, terutama apabila dia berdepan saingan hebat daripada penembak India.

"India sudah mencapai tahap Sukan Olimpik, malah dalam Piala Dunia pun, mereka sudah berjaya meraih kemenangan. Bagi saya, kalau berjumpa mereka, sudah tentu ia akan menjadi cabaran yang besar," katanya.

Johnathan adalah antara beberapa atlet menembak negara yang akan beraksi dalam saingan Terbuka Selangor yang bermula esok hingga Ahad.

Sementara itu, seorang lagi atlet menembak negara, Ezuan Nasir Khan, mengakui semakin serasi berlatih di bawah jurulatih baru, Cho Jang Hwan, untuk saingan 50m rifle prone dan 10m air rifle.

Saingan ini bakal menjadi kejohanan sulung Ezuan beraksi di bawah kendalian Jang Hwan.

"Banyak perkara yang dikongsinya. Kami mula berlatih dengannya tidak sampai dua bulan dan banyak perubahan yang dilakukannya.

"Alhamdullillah, sudah nampak perubahan daripada keputusan. Jadi, kami perlu kekal berlatih lagi untuk menyesuaikan diri. Tetapi dia memang bagus," kata Ezuan.