Kecederaan yang menimpa tiga penerjun kebangsaan tidak memberi kebimbangan buat pemangku ketua jurulatih skuad terjun negara, Zhang Yukun, dalam meletakkan mereka sebagai sandaran di pentas Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong adalah antara atlet yang berdepan masalah kecederaan melibatkan bahu dan bahagian belakang.

Bagaimanapun, Yukun menganggap kecederaan itu kini bukanlah sesuatu yang merisaukan kerana proses pemulihan telah berjalan dengan baik tanpa menjejaskan persiapan terakhir mereka sebelum terbang ke Gold Coast pada 5 April ini.

Jun Hoong, yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan belakang yang agak serius, membuktikan tahap kecergasannya berada pada tahap yang konsisten dalam Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA di Beijing tempoh hari, selepas meraih pingat perak acara 10 meter platform seirama.

"Saya memang mengutamakan tahap kecergasan atlet ketika ini. Tiga atlet senior, iaitu Jun Hoong, Pandelela dan Mun Yee mengalami sedikit kecederaan tetapi ia masih terkawal dan diharapkan ia berterusan sehingga aksi sebenar," kata Yukun.

Yukun yang kini diberi tanggungjawab mengendalikan penerjun wanita tidak meletakkan jumlah sasaran tertentu tetapi melihat prospek pingat yang mampu diraih oleh anak buahnya adalah menerusi 10m platform dan 3m papan anjal, masing-masing bagi acara individu dan seirama.

"Kami akan mencuba sedaya-upaya dan semestinya ingin muncul sebagai pemenang. Penerjun Malaysia kini hanya meletakkan tumpuan kepada latihan penuh di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Gold Coast," ujarnya.