Penembak negara, Ezuan Nasir Khan, menjadikan insiden yang pernah menimpa bekas ratu menembak negara, Nurul Huda Baharin, sebagai sumber inspirasinya untuk cemerlang dalam Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April ini.

Berbaki tiga minggu sebelum temasya itu membuka tirai, Ezuan ditimpa malang apabila patah jari kelengkeng.

Dia mengalami kecederaan itu akibat tergelincir di kawasan Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Rabu lalu,

Ironinya, kemalangan hampir serupa juga pernah menimpa Nurul Huda, beberapa minggu menjelang Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.

Namun, situasinya lebih teruk buat Nurul Huda yang patah tangan kanan akibat nahas jalan raya, namun masih mampu menyumbang pingat emas untuk negara.

"Ketika kejadian ini berlaku, saya terlintas, 'kalau kak Nurul Huda pernah melakukannya, kenapa saya tidak boleh?'

"Semangat saya perlu kuat," katanya.

Ezuan sepatutnya melakukan pembedahan, namun mengambil keputusan untuk menangguhkannya sehingga selepas berakhirnya temasya Gold Coast 2018.

"Doktor sudah menyaksikan sesi latihan saya dan menganggap tiada masalah untuk saya beraksi," katanya lagi.