Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyuntik semangat baru kepada atlet dengan insentif sebanyak RM10,000 bakal diberikan kepada pemenang pingat di pentas Sukan Komanwel Gold Coast, bulan depan.

Demi menghargai usaha keras barisan atlet olahraga ke Sukan Komanwel, insentif sebanyak RM10,000 diharap menjadi semangat awal kepada atlet untuk cuba menghadiahkan pingat tidak kira warna buat negara.

Kali terakhir skuad olahraga merangkul pingat dalam temasya itu adalah 16 tahun lalu menerusi atlet jalan kaki, Yuan Yufang, dengan pingat gangsa pada 2002 di Manchester dan tidak mustahil ada atlet olahraga negara mampu menamatkan kemarau pingat di Gold Coast nanti.

"Sukan Komanwel adalah saingan yang lebih tinggi berbanding Sukan SEA. Jadi, kami telah berbincang dan membuat keputusan untuk memberikan insentif sebanyak RM10,000 kepada atlet yang memenangi pingat di Gold Coast nanti," kata Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim.

Karim yang ditemui dalam Kejohanan Olahraga All Comers Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut mengumumkan keputusan mengekalkan Zainal Abbas selaku ketua jurulatih olahraga kebangsaan dan melantik Mohd Mansahar Abdul Jalil sebagai pembantu.

Mereka akan kekal dalam membantu skuad olahraga bagi dua temasya penting tahun ini, termasuk Sukan Asia dan Sukan SEA di Filipina tahun depan.

"Kami akan terus menggunakan khidmat Zainal yang memiliki pengetahuan yang tinggi dalam sukan olahraga bagi menghadapi beberapa kejohanan penting akan datang," ujarnya.