Tugas berat pastinya menanti pemain ping pong negara, Ho Ying, apabila turun sebagai satu-satunya atlet wanita paling senior dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 berbanding di Glasgow, empat tahun lalu.

Ia memberi situasi yang berbeza untuk Ho Ying kerana sebelum ini menerima sokongan terbaik daripada dua pemain senior, Ng Sock Khim dan Beh Lee Wei, untuk mereka meraih pingat perak bagi acara berpasukan di Glasgow 2014.

Bagaimanapun, tugasnya lebih berat kali ini kerana hanya dia yang perlu menjadi contoh terbaik kepada pemain muda lain seperti Alice Chang, Tee Ai Xin dan Karen Lyne untuk memastikan mereka mampu mara ke suku akhir acara sama.

Ho Ying sedar kemampuan yang dimiliki pasukan pada edisi ini tetapi enggan menghadirkan tekanan besar dalam diri mereka.

"Sebenarnya, pengalaman saya di pentas Komanwel masih belum cukup kerana kali terakhir beraksi, saya diketuai oleh dua pemain senior. Sebelum ini juga, saya tidak beraksi dalam acara perseorangan," ujarnya.

Skuad ping pong negara berlepas ke Gold Coast hari ini dengan tujuh pemain bakal dipertaruhkan di sana, bermula dengan acara berpasukan pada Khamis depan.

Persiapan di China sehingga 25 Mac lalu diharap berguna, terutama buat pemain muda untuk cuba melakar kejutan.

"Saya perlu melihat corak permainan pihak lawan dan tempoh persiapan di China sebelum ini mungkin dapat membantu."