Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, berpeluang mengulangi penghormatan milik idolanya, Mohd Zaki Sadri, apabila diletakkan sebagai atlet pilihan untuk tugasan pembawa bendera kontinjen Malaysia dalam Sukan Komanwel Gold Coast, dari 4 hingga 15 April ini.

Hakimi berpeluang mengulangi pencapaian Zaki selaku pembawa bendera kontinjen negara dalam Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

"Kalau dilihat, semua calon-calon ini memiliki kredibiliti dan pencapaian yang baik.

"Saya menyasarkan untuk memecah rekod kebangsaan dalam Sukan Komanwel. Tambahan pula, sasaran utama saya adalah meraih pingat, tidak kira sama ada dalam Sukan Komanwel atau Sukan Asia.

"Saya mahu menjadi atlet lompat kijang negara yang pertama memenangi pingat dalam Sukan Komanwel, ia satu pencapaian yang agak tinggi buat saya," katanya ketika ditemui menjalani latihan di Bukit Jalil, pagi tadi.

Pemegang rekod Sukan SEA itu bersaing dengan empat lagi atlet, iaitu Emma Firyani Saroji (boling padang), Ooi Tze Liang, Nur Dhabitah Sabri (terjun) dan Sukri Mutalib (hoki) untuk meraih penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Pengumuman mengenainya dijangka diumumkan pada 27 Mac ini.