Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, enggan meletakkan ganjaran sebagai keutamaannya setelah beberapa pihak menjanjikan imbuhan lumayan seandainya dia berjaya menyumbangkan pingat buat Malaysia dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Antara pihak yang berjanji memberikan imbuhan buatnya adalah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), menerusi presidennya, Datuk Karim Ibrahim, yang berjanji akan memberikan RM10,000 jika dia berjaya menyumbangkan pingat.

Bagaimanapun, Hakimi tidak mahu terlalu dikaburi wang ringgit, sebaliknya menyasarkan untuk memberikan aksi terbaik pada hari saingan nanti.

"Keutamaan saya bukan habuan. Jika tiada sebarang hadiah sekalipun, saya akan tetap cuba yang terbaik.

"Ia sememangnya motivasi buat semua, termasuk atlet, untuk beraksi," katanya yang ditemui dalam majlis meraikan atlet UPM ke Sukan Komanwel 2018 bersama-sama dengan 27 atlet negara yang lain.

Setiap daripada mereka menerima insentif RM1,000 seorang sebelum berlepas ke Gold Coast.

Dalam masa yang sama, Hakimi juga melahirkan keterujaan apabila diberikan amanah menjadi pembawa Jalur Gemilang ketika majlis pembukaan Sukan Komanwel esok.

"Ia sesuatu yang membanggakan untuk saya.

"Ini adalah satu pengiktirafan buat diri saya dan saya akan lakukan yang terbaik dalam kejohanan nanti," ujarnya.