Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, mengakui sudah mempunyai gambaran pelumba yang akan menggalas cabaran dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April ini, sejurus berakhirnya Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC), semalam.

Perseketuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bulan lalu mengumumkan senarai 14 pelumba ke temasya di Australia itu.

Namun, difahamkan ia merupakan senarai awal yang dihantar PKBM ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dengan penilaian akhir adalah berdasarkan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai yang menyaksikan skuad elit negara meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa.

Dengan Jupha Somnet paling menyerlah dengan emas yang diraih, Beasley mengesahkan senarai akhir pelumba negara ke temasya itu akan dihantar ke MOM dalam masa terdekat.

"Jika kami mampu mendorong Jupha memberi komitmen sepertimana dilakukannya dalam perlumbaan mata, dia bakal menjadi Olimpian. Sudah pasti tiada masalah dan lebih kompetitif dalam Sukan Olimpik.

"Hanya dia dapat mengubah perkara ini dan sekiranya lebih kerap berlumba dengan positif, anda dapat saksikan apa yang mampu dilakukannya. Kami akan membuka peluang buatnya, namun ia terpulang kepadanya," kata Beasley.

Untuk rekod, skuad negara menghantar lapan pelumba dalam temasya lalu di Glasgow dengan mendapat sebutir gangsa menerusi Azizulhasni Awang dalam acara keirin.