Bintang skuasy remaja negara, Aifa Azman, enggan sekadar melengkapkan kuota terpilih ke Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April depan.

Sebaliknya, dia berazam untuk meraih pingat dalam acara beregu campuran selepas diberi peluang untuk menggantikan Low Wee Wern.

Aifa pada mulanya tidak menjangka akan dipilih untuk menggalas cabaran besar itu pada saat-saat akhir berikutan Wee Wern tidak mendapat lampu hijau daripada Institut Sukan Negara (ISN) untuk ke temasya berkenaan.

Bagaimanapun, tidak keterlaluan untuknya meletakkan harapan menghadiahkan pingat buat negara bersama pasangan beregunya, Sanjay Singh Chal, biarpun ini merupakan penampilan pertamanya dalam temasya itu.

"Saya berasa sangat gembira dan teruja kerana dapat bermain buat kali pertama dalam Sukan Komanwel.

"Saya tidak fikir saya boleh bermain di pentas itu pada usia 16 tahun kerana Malaysia memiliki ramai pemain senior yang baik.

"Saya rasa bertuah dapat bermain dengan pemain kelas dunia," katanya.

Walaupun acara beregu bukanlah acara kegemarannya, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu bertuah kerana digandingkan bersama Sanjay yang lebih berpengalaman untuk memberi tunjuk ajar memandangkan mereka baru sahaja berlatih bersama selama seminggu.

"Kami hanya menggandakan latihan kerana memiliki banyak kejohanan dan sudah tentu kami akan berlatih bersama-sama lebih banyak lagi," katanya.