Atlet olahraga para negara, Afiq Ali Hanafiah, mahu memanfaatkan tempoh seminggu sebelum ke Gold Coast untuk terus mempersiapkan diri bagi menghadapi saingan Sukan Komanwel 2018.

Tatkala atlet daripada sukan lain sudahpun berlepas ke Gold Coast, Afiq masih lagi menjalani latihan seperti biasa kerana penerbangannya dijadualkan pada 9 April nanti.

Acaranya pula akan berlangsung tiga hari kemudian, jadi amat penting buat Afiq untuk memastikan dirinya mampu kekal di tahap terbaik bagi acara iaitu 100 meter T12.

"Sebenarnya, jurulatih sedang memberikan saya program yang khas untuk beraksi di pentas yang tinggi. Ia melibatkan kekuatan dan kelajuan untuk meningkatkan catatan masa.

"Saya harus membuktikan kemampuan ketika diberi peluang," kata Afiq.

Selain Afiq, dua lagi atlet para negara, iaitu Bonnie Bunyau Gustin daripada sukan powerlifting serta Carmen Lim yang beraksi dalam acara renang turut akan membuat penampilan sulung mereka di pentas Komanwel.

Bagi Bonnie, dia kekal dengan misi untuk memperbaiki catatan peribadi daripada memikirkan buruan pingat walaupun tampil cemerlang dalam Kejohanan Dunia Fazza di Dubai, Februari lalu, sementara Carmen percaya dia mampu merekodkan catatan bawah 35 saat bagi acara renang S8 50m gaya bebas wanita di Gold Coast berdasarkan program latihan yang diharunginya di England.

"Saya mahu lakukan angkatan 160kg. Sebelum ini, saya hanya berjaya mengangkat seberat 157kg," ujar Bonnie.

"Saya berada di peringkat di mana peluang untuk menamatkan saingan di podium agak rendah kerana bakal berdepan saingan juara dunia," tambah Carmen.