"Tak perlulah dia ambil bahagian," itu pandangan jurulatih tinju negara, Azmi Md Yunus, terhadap situasi membabitkan Abdul Salam Kasim yang dianggap sudah kesuntukan masa untuk membuat persiapan menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast.

Ketiadaan Abdul Salam dalam sesi latihan skuad tinju negara mencetuskan tanda tanya sedangkan dia antara yang terpilih ke Gold Coast bersama Muhd Fuad Muhd Redzuan.

Difahamkan, peninju berusia 22 tahun itu sudah mendapat pekerjaan tetap dan timbul kekangan daripada segi pelepasan majikannya untuk menyertai latihan.

Menurut Azmi, situasi ini amat merugikan kem tinju negara tetapi pada masa sama memahami keadaan yang dihadapi Abdul Salam.

Jelasnya lagi, andai Abdul Salam mendapat pelepasan, ia sudah terlalu lewat kerana program latihan ke Gold Coast telahpun bermula.

"Kalau dalam tempoh dua bulan ini, kalau berat badannya naik dan momentum latihannya tiada, itu pun bermasalah. Kalau dia tidak mendapat kecergasaannya, saya yang kena bantai.

"Saya kena bersoal jawab. Jadi, kalau dia tarik diri pun tiada masalah kerana masa sudah singkat. Kalau untuk Sukan Asia (pada Ogos), kalau dia mahu kembali, ia baik. Bagi Sukan Komanwel ini, ia terlalu dekat," katanya.

Sementara itu, Azmi merancang untuk membawa peninju negara menjalani latihan di luar negara sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Komanwel nanti.

Kazakhstan menjadi antara destinasi pilihan tetapi berdasarkan keadaan cuaca di sana, Azmi kemungkinan terpaksa mencari lokasi alternatif sebagai pengganti.

"Kami serahkan kepada persatuan. Tentang latihan ini, masalah kewangan kita serahkan kepada persatuan untuk diuruskan. Sebab apa, ia ada kaitan dengan negara-negara yang kita mahu pergi.

"Kalau kita mahu pergi ke sesebuah negara tetapi tidak mendapat persetujuan daripada negara tersebut, itu pun tidak boleh. Jadi, kita perlukan persetujuan bersama," ujarnya.