Seramai 178 atlet menjadi sandaran kontinjen negara ke Sukan Komanwel Gold Coast selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memuktamadkan senarai penyertaan atlet bagi temasya sukan itu, dari 4 hingga 15 April ini.

Perkara itu menjadi antara agenda utama dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM yang dipengerusikan Tunku Imran Tuanku Jaafar, hari ini.

Daripada jumlah 178 atlet, 100 daripadanya merupakan kuota yang diberi oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) manakala selebihnya adalah atlet yang melepasi kelayakan. Enam daripada kuota itu membabitkan rayuan yang dihantar MOM ke CGF.

Ia sekaligus menyaksikan atlet olahraga, Zaidatul Husniah Zulkifli, antara yang tersenarai, di samping atlet ping pong, Ho Ying.

Dalam pada itu, MOM juga turut mendapat dua lagi kuota tambahan yang diberikan kepada sukan terjun.

"Enam rayuan dan dua lagi dapat disenaraikan selepas CGF memberikan slot tambahan. Jadi, jumlah keseluruhan adalah 178 penyertaan," kata Tunku Imran.

Dengan muktamadnya senarai kontinjen negara, tumpuan sudah pasti kepada siapa yang akan diberi penghormatan untuk membawa jalur gemilang dalam upacara pembukaan di Gold Coast nanti.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo, menjelaskan ia akan diputuskan secepat mungkin, dengan keutamaan diberikan kepada atlet yang pertama kali menyertai Sukan Komanwel.

"Kami akan membuat senarai pendek dan Lembaga MOM akan membuat keputusan secepat mungkin kerana proses penyerahan bendera juga akan dilakukan," ujarnya.

Terjun dan olahraga muncul skuad paling ramai menghantar atlet menyertai acara individu dengan masing-masing seramai 13 orang, diikuti boling padang dan badminton yang masing-masing dengan 10 orang.

Selain itu, seramai 60 atlet ke Australia daripada acara berpasukan, iaitu hoki dan bola keranjang.

Jumlah keseluruhan: 178 atlet

Terjun: 13
Renang: 5
Olahraga: 13
Hoki(l): 18
Hoki(w): 18
Badminton: 10
Basikal: 13
Gimnastik artistik: 6
Gimrama: 3
Boling padang: 10
Menembak: 9
Skuasy: 9
Ping pong: 7
Triatlon: 2
Bola Keranjang (w): 12
Ragbi 7 sepasukan: 12