Gimrama Kebangsaan: Sie Yan buru juara keseluruhan

Oleh Staff Writer 18 Oktober 2019 88
Gimrama Kebangsaan: Sie Yan buru juara keseluruhan
Kejayaan mengungguli acara gelung menyuntik semangat gimnas negara, Koi Sie Yan, untuk merangkul gelaran juara keseluruhan dalam Kejohanan Gimrama Kebangsaan.

Dalam saingan di Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, Sie Yan mengumpulkan 16.200 mata untuk meletakkan dirinya selaku juara dalam displin itu.

Dia meninggalkan Rayna Hoh (14.150 mata) di tempat kedua dan Izzah Amzan (13.850) di tempat ketiga.

Baginya, kejohanan itu merupakan medan pemanas badannya sebelum menghadapi Piala AEON di Jepun hujung bulan ini. 

"Memandangkan ia disiplin pertama dalam kejohanan ini, saya dan jurulatih agak berpuas hati dengan permulaan seperti ini.

"Masih ada dua disiplin lain esok dan saya akan berjuang untuk menjuarainya," katanya.

Penyertaan atlet berusia 20 tahun itu dalam Kejohanan Dunia keduanya di Azerbaijan bulan lalu menyaksikan Sie Yan menamatkan saingan itu di tempat ke-78 daripada 116 peserta. 

Ia menambahkan keyakinannya untuk menyumbangkan pingat dalam Sukan SEA Filipina bulan depan.

"Kejohanan Dunia di Azerbaijan merupakan kejohanan terbesar dengan kesemua peserta merebut tempat ke Sukan Olimpik.

"Keputusan di sana agak baik dan memuaskan hati saya tetapi kami boleh melakukannya dengan lebih baik," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen