Tiga wakil negara mempamerkan persembahan memikat selepas menamatkan saingan kelayakan acara gelung dan bola dalam Kejohanan Gimrama Asia 2018 di Arena Axiata, sebentar tadi.

Selepas cemerlang dalam Sukan Komanwel Gold Coast yang berakhir dua minggu lalu, sandaran negara sekali lagi diletakkan kepada Amy Kwan, Koi Sie Yandan Izzah Amzan.

Aparatus gelung menyaksikan Izzah terlebih dahulu memulakan saingan buat Malaysia dan berjaya mengumpul 12.75 mata.

Disusuli oleh Sie Yan, atlet yang cemerlang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu itu juga tidak mengecewakan apabila memperoleh 13.80 mata.

Tumpuan sudah pasti kepada Amy susulan kejayaannya meraih emas aparatus reben di Gold Coast, dengan dia memperoleh 13.50 mata bagi aparatus gelung ini.

Beralih ke aparatus bola, Izzah tidak melakukan sebarang kesilapan untuk membolehkannya mengumpul 15.15 mata.

Sie Yan pula terpaksa berpuas hati dengan catatan 13.80 mata selepas melakukan sedikit kesilapan pada penghujung rutinnya.

Amy melengkapkan cabaran negara dalam Kumpulan A apabila mencatatkan 13.95 mata dengan kutipan mata daripada peserta dalam Kumpulan B akan menentukan sama ada mereka mampu mara ke final.

Sementara itu, Malaysia menamatkan aksi kelayakan berkumpulan lima gelung di kedudukan ketujuh selepas mengumpul 12.50 mata.

Kesilapan pada pertengahan rutin mengakibatkan juri tidak dapat memberikan mata yang lebih tinggi kepada wakil negara.

Saingan itu diungguli China yang mengumpul 16.30 mata sambil diikuti rapat oleh Jepun menerusi kutipan 16.15 mata.