Atlet gimnastik artistik wanita negara, Tan Ing Yueh, melakar kejutan apabila meraih pingat gangsa dalam aksi pembukaan Kejohanan Gimnastik Piala Cabaran Dunia (WCC) 2019 di Zhaoqing, China, hari ini.

Atlet berusia 23 tahun itu mengumpul 12.625 mata dalam acara melombol di Kompleks Sukan Zhaoqing, menurut laman sesawang Persatuan Gimnastik China: www.gymnastics.sport.org.cn.

Atlet gimnastik dari China, Yu Linmin, merangkul emas dengan 14.625 mata sementara Oksana Chusovitina memegangi perak untuk Uzbekistan dengan 14.325 mata.

Lebih 50 atlet gimnastik dari 11 negara mengambil bahagian dalam kejohanan tahunan itu.

Selepas China, pertandingan akan berlangsung di Osijek, Croatia, dari 23-26 Mei; Koper, Slovakia (30 Mei-2 Jun); Mersin, Turki (30 Ogos-1 September), sebelum berakhir dengan tiga peringkat pada September -- Szombathely, Hungary (6-8 Sept); Paris, Perancis (14-15 Sept) dan Guimaraes, Portugal dari 19-22 Sept.

-- BERNAMA