Dua juara Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Thailand ghairah memastikan gelaran Terbuka Antarabangsa Malaysia edisi ke-40 di Sunway Mega Lanes, hujung bulan ini, kekal menjadi milik jaguh negara.

Kem boling tenpin negara meraikan kejayaan Adrian Ang dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman yang mengungguli Terbuka Thailand, kelmarin.

Bagi Adrian, kemenangan itu merupakan kejuaraan individu pertamanya selepas kali terakhir melakar kejayaan di Macau pada 2017.

"Sudah tentu saya gembira, lebih-lebih lagi kejayaan ini menerusi acara perseorangan kerana kali terakhir saya menjulang kejuaraan adalah pada 2017.

"Semua peserta mempunyai peluang, apatah lagi bola itu bulat tetapi Rafiq Ismail tetap kekal sebagai pencabar utama dalam Terbuka Antarabangsa Malaysia edisi ke-40.

"Ia satu perkembangan yang bagus kerana ia boleh melonjakkan keyakinan kami. Ini kerana kami sama-sama mewakili Malaysia," kata Adrian.

Sementara itu, Siti Safiyah mengidamkan gelaran senior dalam Terbuka Antarabangsa Malaysia selepas mengungguli divisyen remaja pada 2005.

"Beraksi di tempat sendiri, saya mahu meraih kemenangan di depan mata ibu bapa," katanya.

Penganjuran kejohanan itu yang kembali selepas dua tahun akan melibatkan pengaruh pemain daripada Sirkit Amerika Syarikat.

"Kami mengundang seramai 20 juara dunia dan benua untuk menyertai kejohanan ini.

"Tidak banyak sukan di negara ini yang boleh menarik perhatian jaguh seperti itu," kata Presiden Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC), Datuk Dr PS Nathan, dalam majlis tajaan jersi rasmi baru serta pengiktirafan buat barisan lelaki yang muncul juara dunia 2018, hari ini.