Sergio Garcia mempersoalkan sama ada Tiger Woods mempunyai keupayaan fizikal untuk membuat kemunculan semula daripada rentetan kecederaan.

Woods menjalani pembedahan belakang keempat tahun lalu dan kini bersedia untuk menyertai Kejohanan Terbuka Farmers Insurance di Torrey Pines hujung minggu ini setelah beraksi dalam Cabaran Dunia Hero -- acara tidak rasmi Jelajah PGA -- bulan lalu.

Atlet berusia 42 tahun itu menyuarakan keinginannya untuk memenuhi jadual padat 2018, begitupun juara Masters, Garcia -- yang mempunyai hubungan dingin dengan Woods -- tidak pasti jika juara gelaran utama sebanyak 14 kali itu mampu memenuhi tuntutan bermain sepenuh masa.

"Ia akan menjadi menarik untuk disaksikan," kata Garcia dalam sidang media menjelang Kejohanan Dubai Desert Classic dalam Jelajah Eropah.

"Maksud saya, saya tidak tahu tetapi pada pendapat saya, ia adalah tanda tanya besar untuk melihat bagaimana dia akan menangani tuntutan fizikalnya.

"Saya fikir dia kelihatan bagus dalam Cabaran Dunia Hero tetapi dia juga kelihatan begitu dalam acara itu (pada tahun-tahun sebelumnya), kemudian dia tidak bertahan lama.

"Mudah-mudahan dia mendapat sedikit rentak apabila beraksi dalam kejohanan, namun ia belum dapat dipastikan.

"Saya boleh mengatakan bahawa mungkin dia tidak tahu bagaimana fizikalnya akan bertindak balas selepas mengharungi kejohanan dan latihan. Jadi, kita akan lihat," katanya.

Bagaimanapun, Garcia ingin melihat Woods kembali pulih.

Dia menambah: "Dia banyak berkorban demi untuk beraksi Jika dia tidak berada di sana, adakah permainan golf akan terjejas? Saya tidak fikir begitu.

"Tetapi, seperti yang saya katakan, lebih banyak gula, lebih manis lagi. Maka, lebih ramai pemain ternama menyertai siri jelajah, lebih baiklah ia untuk sukan ini di seluruh dunia kerana dia salah seorang daripada mereka."