Kegagalan merealisasikan misi ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2018 di Dalian, China tetap tidak melunturkan semangat S. Sivasangari.

Bagi Sivasangari, setiap pengalaman, apatah lagi beraksi di samping Datuk Nicol David, adalah sesuatu yang menakjubkan.

Malaysia yang turut ditunjangi Low Wee Wern dan Aifa Azman menamatkan kempen di Dalian di tempat keenam apabila tewas perlawanan pertemuan tempat kelima di tangan Amerika Syarikat.

Sasaran awal untuk ke separuh akhir tidak kesampaian apabila tewas kepada Perancis dalam suku akhir.

"Kami telah cuba memberikan yang terbaik tetapi tuah tidak memihak Malaysia dan tewas kepada Perancis," kata Sivasangari.

Tahun 2018 turut menyaksikan Sivasangari layak ke pentas final Sukan Asia sebelum tumpas kepada idolanya, Nicol.

Tetapi dia mengetahui waktunya akan tiba apabila pemain seperti dia, Aifa dan Rachel Arnold akan memikul tugas sebagai tonggak negara.

"Saya pasti Nicol masih mahu beraksi. Tetapi akan tiba masa buat saya, Rachel dan Aifa memikul tanggungjawab sebagai pemain utama," katanya.