Pasukan futsal wanita Perak layak ke final Kejohanan Futsal Antarabangsa Piala Raja Nazhatul Shima selepas membelasah El Junior FC dari Singapura 15-2 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, hari ini.

Kejayaan itu adalah yang kedua buat pasukan tuan rumah yang membaham wakil Indonesia, Inspire Medan FC, 17-0 semalam.

Dengan dua kemenangan itu, Perak menduduki tangga teratas kejohanan tiga pasukan itu dan menunggu pencabar di antara wakil Indonesia atau Singapura yang akan membuat perhitungan pagi esok bagi mengintai tempat perlawanan akhir.

Berdasarkan apa yang berlaku dalam dua perlawanan itu, jelas wakil Singapura berkenaan mempunyai peluang yang lebih cerah.

Dalam perlawanan hari ini, Perak menguasai keseluruhan perlawanan.

Anak buah Ahmad Rasidi Hashim itu mendahului 8-1 dalam separuh pertama dan menambah tujuh lagi gol selepas rehat.

Farahiyah Muhammad Ridzuan muncul penjaring terbanyak dengan empat gol sementara Nor Azura Taufik dua jaringan.



Editor: Shaiful Shamsudin