Tujuh pasukan -- empat lelaki dan tiga wanita -- mengesahkan penyertaan dalam Kejohanan Futsal Jemputan Antarabangsa Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Rabu ini.

Shah United dari Brunei, Bank Sumut Futsal Club (Indonesia), CAT Futsal Club (Thailand) dan pasukan tuan rumah, Perak, akan beradu kekuatan dalam kategori lelaki.

Sementara itu, tiga pasukan wanita berkenaan terdiri daripada Inspire Medan Futsal Club (Indonesia), El Junior Westwood FC (Singapura) dan wakil tuan rumah, Perak.

Pasukan lelaki lelaki akan bertanding bagi merebut Piala Raja Iskandar manakala kategori wanita pula akan memburu Piala Raja Nazatul Shima.

Pengarah Pertandingan, Syed Saifullah Omar Alsagoff, berkata kejohanan itu adalah anjuran Sportsone Empire dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta mendapat pengiktirafan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Ini kali kedua kejohanan Piala Iskandar diadakan, kali pertama pada 2016 tetapi untuk kategori B-19.

"Kali ini, kejohanan lelaki diadakan untuk pasukan jemputan antarabangsa selain kami menambah kategori wanita," katanya.

Menurut Syed Saifullah lagi, kejohanan itu diadakan bagi mempromosikan sukan futsal di Perak dengan menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 untuk juara manakala RM10,000 untuk naib juara kategori lelaki. Juara wanita pula akan menerima RM10,000 dan naib juaraRM6, 000.



Editor: Shaiful Shamsudin