Malaysia gagal melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Futsal B-20 AFC 2019 selepas tewas 1-2 kepada Vietnam dalam final Kejohanan Kelayakan Zon ASEAN di Bangkok, Thailand, hari ini.

Kekalahan ketiga itu menyaksikan skuad negara berada di tempat keempat daripada lima pasukan selepas mengutip tiga mata daripada empat perlawanan.

Malaysia hanya meraih kemenangan 1-0 ke atas Myanmar dalam perlawanan pembukaan, Rabu lalu.

Dalam perlawanan di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Vietnam hanya mengambil masa tiga minit untuk membuka jaringan menerusi Nhan Gia Hung sebelum Ahmad Harith Naim Mohd Nasir menyamakan kedudukan pada minit ke-23.

Huynh Mi Woen muncul wira Vietnam apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-40.

Kemenangan itu menyaksikan Vietnam muncul juara kejohanan.

Thailand dan Indonesia pula melayakkan diri ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Iran, tahun depan.

-- BERNAMA

Kredit foto: www.the-afc.com