MALAYSIA 4 TAIWAN 5

Hajat Malaysia untuk merakamkan kemenangan kedua dalam Kejohanan Futsal AFC lebur apabila tunduk 5-4 kepada tuan rumah, Taiwan, hari ini.

"Kami kalah dengan jurang kecil. Kami tewas kerana gagal menjelmakan permainan sebenar.

"Taiwan sangat berdisiplin ketika bertahan, tiga gol mereka terhasil menerusi serangan balas.

"Saya harap ini tidak berlaku lagi dan masih yakin mampu layak ke peringkat kalah mati," kata jurulatih negara, Chiew Chun Yong.

Malaysia yang turun berbekalkan semangat kemenangan 2-1 ke atas Vietnam tempoh hari gagal mengulangi rentak yang sama.

Kegagalan memterjemahkan kesempatan di awal permainan serta kawalan longgar di bahagian pertahanan menyaksikan anak buah Chun Yong dihukum Lai Ming-Hui, Lin Chih-Hung dan Chi Sheng-Fa sebelum Azwann Ismail merapatkan jurang.

Begitupun, kealpaan ketika bertahan berulang lalu memberi kesempatan kepada Taiwan untuk terus merobek pintu gol negara, sekali lagi menerusi Ming-Hui.

Skuad negara mula mempamerkan rentak garang dan berhasil menghasilkan tiga gol pantas dalam tempoh lima minit hasil sentuhan pemusnah Awalluddin Mat Nawi (m-33 dan 36) serta Khairul Effendy Bahrin (m-38).

Kebangkitan lewat Malaysia untuk setidak-tidaknya meraih keputusan seri, bagaimanapun, tidak kesampaian apabila rembatan Chih-Hung ke penjuru kanan pintu gol negara ketika permainan berbaki seminit gagal diselamatkan.

Ia seterusnya membawa kemenangan pertama kepada tuan rumah berikutan seri 2-2 dengan Bahrain dalam aksi pembukaan.

Malaysia, yang kini menghuni tangga kedua, bakal bertemu Bahrain di University of Taipei Gymnasium dalam perlawanan terakhir Kumpulan A bagi menjamin kemaraan ke pusingan kalah mati.


Keputusan lain:

Bahrain 1 Vietnam 2