Mendukacitakan apabila tiada wakil dalam sukan tinju yang akan menyertai Sukan Komanwel Gold Coast, April depan, selepas wakil tunggal negara, Muhammad Fuad Mohd Redzuan, dinasihatkan untuk berehat ekoran keadaannya yang mengalami keretakan tulang di bahagian pipi kirinya.

Fuad mengalami kecederaan tersebut ketika menyertai Kejohanan Pra-Sukan Asia di Jakarta sebelum ini, namun dia tetap berjaya meraih pingat gangsa dalam kategori bawah 49 kilogram.

Bagaimanapun, atas saranan Institut Sukan Negara (ISN), Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) akur untuk tidak menghantar Fuad ke Gold Coast bagi membolehkannya pulih sepenuhnya bagi menghadapi Sukan Asia pada Ogos nanti.

"Buat masa ini, saya hanya memerlukan enam minggu untuk pulih, jadi ia cukup untuk menghadapi aksi Komanwel tetapi disebabkan saya tidak boleh menjalani latihan intensif, jadi pihak ISN dan Majlis Sukan Negara (MSN) berasakan lebih baik saya tidak beraksi," katanya.

Perkhabaran itu ternyata menghampakan Fuad yang mengidamkan penampilan pertamanya dalam Sukan Komanwel.

Sebelum ini, terdapat seorang lagi atlet tinju, iaitu Abdul Salam Kassim, bagi kategori bawah 52 kilogram, namun diketepikan kerana komitmen yang perlu diberikan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Saya rasa agak terkilan tidak dapat beraksi di Sukan Komanwel kerana ia menjadi salah satu sasaran saya.

"Sukan Komanwel lebih mudah berbanding Sukan Asia untuk mendapatkan pingat," tambahnya.