Chris Froome akan terlepas pelumbaan berbasikal Tour de France selepas patah beberapa tulang ekoran kemalangan dalam Criterium du Dauphine.

Froome, yang juga pemenang enam kali Grand Tour, dikejarkan ke hospital selepas terlibat dengan kemalangan sewaktu ujian masa di Roanne semalam, seperti yang diumumkan Team Ineos.

Pasukan itu berkata Froome patah tulang femur kanan dan pecah siku kanan selain beberapa keretakan rusuk dalam insiden berkenaan dan diterbangkan ke hospital lain untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Fokus utama kami ketika ini adalah untuk memastikan Chris mendapat penjagaan terbaik yang sudah pasti akan diterimanya supaya dia dapat pulih secepat mungkin," kata prinsipal Team Ineos, David Brailsford, dalam satu kenyataan.

"Salah satu kekuatan dalam pasukan ini ialah penyatuan ketika menghadapi waktu sukar dan kami akan memastikan segala yang mungkin untuk membantu Chris dan keluarganya."

Terdahulu, Brailsford mendedahkan dalam siaran televisyen Perancis bahawa Froome mengalami kemalangan itu sewaktu melalui laluan menuruni bukit dengan kelajuan tinggi bagi sesi meninjau laluan ujian masa.

Mesej yang dikirimkan dalam Twitter Froome semalam -- yang dilakukan oleh isterinya, Michelle -- berkata pelumba itu sedang menjalani pembedahan bagi membetulkan pelbagai keretakan tulang.

Froome melepaskan perlumbaan Giro d'Italia untuk memberikannya lebih masa bagi menghadapi Tour de France di mana dia menyasarkan untuk memecahkan rekod dengan kejuaraan kelima.

Pelumba berusia 34 tahun itu, yang memenangi gelaran terakhirnya dalam Tour de France pada 2017, diletakkan sebagai ketua pasukan Team Ineos dalam perlumbaan di Brussels itu bermula 6 Julai ini.