Flydragon benam LG Sakers

Oleh Staff Writer 12 September 2017 135
Flydragon benam LG Sakers
Beijing Flydragon mengatasi LG Sakers dari Korea Selatan 82-69 dalam aksi sulung kedua-dua pasukan dalam Kejohanan Bola Keranjang Piala Juara-Juara Seri Mutiara di Stadium MABA, Kuala Lumpur, hari ini.

Flydragon bermula dengan langkah kanan apabila terlebih dahulu membuka jaringan. Reaksi pantas daripada pemain pasukan itu membolehkan mereka terus mendahului perlawanan, namun sedikit kesilapan membolehkan lawan kembali mengimbangi kedudukan kepada 9-9.

Tetapi Flydragon meneruskan rentak cemerlang untuk menyaksikan suku pertama 20-15 memihak kepada mereka.

Dalam suku kedua, LG Sakers memperkemaskan permainan untuk memberikan tekanan kepada lawan dan gerakan cantik oleh pemain membolehkan mereka mendahului buat kali pertama 22-20.

Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila lawan dari Beijing itu kembali bangkit untuk memastikan kelebihan 40 berbalas 31 menuju rehat.

Penguasaan seimbang disaksikan pada awal suku ketiga, bagaimanapun, ketangkasan Flydragon nyata terlalu hebat untuk diatasi LG Sakers, dan menyaksikan jurang sembilan mata memisahkan kedua-dua pasukan menuju suku terakhir.

Flydragon terus menguasai sisa-sisa perlawanan untuk memastikan kemenangan 82-69.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen