Jurulatih pelapis lompat kijang negara, Ahmad Firdaus Salim, bersedia membimbing juara bertahan Sukan SEA, Muhammad Hakimi Ismail, jika Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) gagal melantik pengendali skuad elit dalam masa terdekat.

Firdaus sedia mengambil alih tugas Victor Sotnikov yang ditamatkan kontrak 31 Disember lalu.

Ia susulan keengganan calon pengganti, Bedros Bedrosian dari Romania, menerima tawaran Malaysia, terutama untuk membimbing Hakimi.

Ketika ini, Firdaus mengambil alih tugas membimbing Hakimi buat sementara waktu.

"Buat masa ini, saya sedia melatih dan menyediakan program kepada Hakimi," kata Firdaus.

"Saya tidak mengira dilatih oleh jurulatih tempatan atan luar negara. Perkara yang penting adalah komitmen dan pengetahuan yang mampu meningkatkan prestasi saya," kata Hakimi.

Gandingan itu dijangka kekal sekurang-kurangnya hingga Kejohanan Asia di Qatar, April depan.

Misi utama Hakimi tahun ini ialah melepasi had kelayakan Kejohanan Dunia, 16.95 meter, selain mempertahankan emas Sukan SEA Filipina, November depan.