Masih belum ada perancangan buat ikon tinju dunia, Manny Pacquiao, bagi mengubah strategi dalam menghadapi Lucas Matthysse untuk perebutan gelaran welterweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) di Kuala Lumpur, Ahad ini.

Pacquiao sebelum ini menjalani latihan di Filipina untuk pertemuan itu yang diberi gelaran "Fight of Champions".

Ia juga pertemuan pertama tanpa Freddie Roach sejak 2001 selepas jurulatih itu digantikan dengan Buboy Fernandez.

"Ia tiada perbezaan kerana Filipina dan di sini (Malaysia) adalah sama waktu dan cuaca. Jadi, kami tidak mengubah rutin latihan.

"Saya masih berlari di luar pada sebelah petang, tiada apa-apa yang berat buat saya," kata Pacquiao, yang juga bekas juara welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO).

Dalam pada itu, kem Matthysse lebih santai menjelang pertarungan itu, dengan peninju kelahiran Argentina itu yakin dapat mempertahankan gelaran welterweight WBA yang disandangnya ketika ini.

"Saya berada dalam keadaan yang cukup baik sekali. Saya yakin dapat memberikan tentangan hebat, sekali gus mempertahankan tali pinggang kejuaraan ini, " katanya.