Federer pemain nombor satu tertua 

Oleh Staff Writer 17 Februari 2018 2876
Federer pemain nombor satu tertua 
Andre Agassi mengucapkan tahniah kepada Roger Federer selepas pemain Switzerland itu menggantikannya sebagai pemain tertua yang menduduki ranking tertinggi ATP dunia.

Federer mengalahkan Robin Haase dalam aksi tiga set untuk meraih tiket separuh akhir Terbuka Rotterdam, sekali gus bermakna dia mengatasi seteru ketatnya, Rafael Nadal, sebagai pemain nombor satu dunia selepas kedudukan itu dikemas kini, Isnin ini.

Pada usia 36 tahun, Federer muncul pemain tertua untuk menduduki ranking tertinggi ATP.

Agassi, 33, yang mewakili Amerika Syarikat sempat bergelar pemain nombor satu tertua dunia pada 2003.

Bagaimanapun, tiada nada terkilan terhadap pencapaian Federer itu, menurut Agassi di dalam Twitter: "36 tahun 195 hari ...

"@RogerFederer terus tingkatkan pencapaian anda dalam sukan ini. Tahniah atas pencapaian yang luar biasa !!"

Ranking paling rendah pernah diduduki Federer adalah pada Januari 2017, iaitu kedudukan ke-17 dunia, selepas dihimpit masalah kecederaan pada tahun sebelumnya. 

Ia gelaran nombor satu keempat Federer yang pernah menguasai carta itu dalam tempoh paling lama, 302 minggu, dan dia percaya pencapaian kali ini lebih manis daripada trofi yang pernah dimenanginya. 

"Meraih gelaran nombor satu dunia adalah antara pencapaian terbesar, jika bukan yang terulung sekalipun," kata Federer, yang kali terakhir bergelar pemain utama pada November 2012. 

"Adakalanya, anda mencapainya kerana anda bermain dengan sangat baik, kemudian anda terpaksa berebut dengan seseorang yang berhak dan apabila anda semakin tua, ada masanya anda berasakan perlu menggandakan usaha. 

"Oleh itu, kejayaan kali ini sangat bermakna sepanjang karier saya, menjadi pemain nombor satu dan menikmatinya pada usia 36, mencecah 37 tahun. Ia impian menjadi kenyataan, saya sukar mempercayainya."


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen