Atlet berbasikal lebuh raya berpengalaman negara, Fauzan Ahmad Lutfi, mengharapkan keputusan positif terhasil susulan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk dia menyertai program latihan Sukan SEA Filipina, hujung November depan.

Kali terakhir Fauzan mewakili negara adalah dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Tampil selaku kapten, dia bersama-sama Nik Mohd Azwan Zulkiflie serta gandingan kembar, Muhammad Ameen dan Muhammad Ameer Ahmad Kamal, meraih emas acara ujian masa berpasukan.

Selepas itu, dia lebih memberikan tumpuan penuh kepada kerjayanya sebagai anggota PDRM.

Namun, pelumba berusia 32 tahun berkenaan mengakui ada berbincang dengan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, untuk kemungkinan dia menyertai semula skuad negara dalam Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.

"Saya telah dimaklumkan oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab, bahawa pihak MSN ingin mengadakan perjumpaan dengan saya.

"Ia berkenaan dengan status saya dalam persiapan program pasukan kebangsaan untuk menghadapi Sukan SEA," katanya.

Dalam pada itu, Fauzan percaya dia masih mempunyai tempoh beberapa tahun lagi untuk terus aktif dalam sukan berbasikal.

Ia susulan tindakan dua pelumba, Adiq Hussainie Othman serta Amir Mustafa Rusli, yang mengambil keputusan untuk bersara.

Malah, Fauzan sendiri pernah beberapa kali menyatakan hasrat untuk bersara, namun kekal dengan semangat tersendiri bagi meneruskan kariernya.

"Mereka masih muda, mereka masih bertenaga untuk berkayuh.

"Lagipun, juara dunia hari ini (Alejandro Valverde dari Sepanyol) berusia 38 tahun tetapi kita harus hormati keputusan persaraan mereka.

"Selagi mampu, Insya-Allah saya akan terus berusaha dan mungkin akan berhenti berkayuh apabila naik pangkat dalam PDRM," ujarnya.