Ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, berpeluang membuktikan penggugurannya daripada Sukan Asia Indonesia, Ogos depan satu keputusan yang silap apabila bakal menyertai tiga kejohanan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dijadual menghantar skuad negara menyertai Piala Trek China 1 dan 2 selain kejohanan kebangsaan, bulan depan.

Ia peluang terbaik untuk Fatehah membuktikan dia masih lagi yang terbaik selepas digugurkan daripada skuad trek ke Sukan Asia.

Tempatnya digantikan Farina Shawati Mohd Adnan dan Anis Amira Rosdi.

"Terdapat beberapa kejohanan akan datang yang bakal disertai oleh Fatehah dan dia perlu membuktikan kebolehannya untuk meraih semula kepercayaan daripada John Beasley," kata pengurus skuad berbasikal Sukan Asia, Firdaus Arshad.

Fatehah merupakan pemenang perak acara keirin Sukan Asia Incheon 2014 tetapi masalah prestasi menyaksikan dia gagal meraih sebarang pingat Sukan Komanwel Gold Coast selain masalah peribadi.

Sejak digugurkan daripada Sukan Asia, pelumba kelahiran Terengganu ini masih meneruskan sesi latihan di bawah kendalian penolong jurulatih negara, Junaidi Mohd Nasir.