Ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, masih berpeluang menyertai Sukan Asia Indonesia, Ogos depan dengan syarat Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum 21 Jun ini.

Pintu masih terbuka untuk Fatehah membuat penampilan ketiga dalam temasya sukan terbesar Asia itu.

MOM sedang membuka rayuan kepada persatuan sukan kebangsaan untuk menghantar calon atlet mereka yang akan diputuskan pada 21 Jun ini.

Ini bermakna nasib Fatehah bergantung kepada budi bicara PKBM, sama ada mahu menggunakan peluang ini atau kekal dengan 17 pelumba ke Indonesia.

"Daripada nasihat MSN, kita melihat Fatehah sebagai atlet tebaik. Persatuan harus lihat daripada segi kebolehannya, dan kalau ada rayuan daripada mereka, kami boleh teliti untuk membawanya masuk dalam pasukan Sukan Asia," kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

PKBM menyenaraikan tiga pelumba wanita yang diketuai Farina Shawati Mohd Adnan selain Noor Quraataina Mamat yang beraksi dalam acara BMX.

Setakat ini, lima persatuan sukan kebangsaan sudah menghantar rayuan mereka seperti olahraga dan renang.

MOM perlu menghantar senarai akhir kontinjen negara pada 22 Jun ini.