Ratu berbasikal trek negara, Fatehah Mustapa, mendakwa penggugurannya daripada ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan satu kesilapan besar dan dia mahu membuktikannya dengan menumbangkan semua pelumba wanita pilihan ketua jurulatih, John Beasley dalam Kejohanan Kebangsaan, bulan depan.

Fatehah berpeluang membuktikan penggugurannya daripada Sukan Asia Indonesia, Ogos depan satu keputusan yang silap apabila bakal menyertai tiga kejohanan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Meletakkan sasaran untuk beraksi cemerlang dalam kejohanan kebangsaan yang bakal bermula bulan depan, atlet kelahiran Terengganu ini berazam untuk menewaskan setiap pelumba yang dipilih oleh Beasley untuk menggantikannya ke Sukan Asia nanti.

"Semuanya adalah keputusan daripada ketua jurulatih, John Beasley. Mungkin dia sudah menilai keputusan saya ketika latihan dan persembahan saya (dalam kejohanan). Mungkin dia melihat saya tidak berapa cergas berbanding sebelum ini.

"Tetapi, bagi saya, walaupun dia berkata begitu, saya akan teruskan perjuangan ini dan buktikan bahawa semua itu tidak betul. Saya akan buktikan saya masih nombor satu di Malaysia," kata Fatehah.

Ditanya mengenai peluangnya terhadap persaingan dengan rakan sepelatih seperti Farina Shawati Mohd Adnan dalam Kejohanan Berbasikal Kebangsaan di Velodrom Nilai, Fatehah berkata dia mampu menewaskan pelumba itu.

"Saya yakin boleh lakukan berdasarkan pengalaman yang ada pada diri saya, cara saya berlatih yang mungkin saya tidak seperti mereka yang berlatih di Australia.

"Diharapkan saya mempunyai cukup masa untuk Kejohanan Kebangsaan dan menang dalam kejohanan itu.

"Selepas ini, saya akan pergi sebanyak mungkin dalam kejohanan Grand Prix bagi mendapatkan mata untuk kelayakan ke Piala Dunia. Bagi saya, saya tidak kisah pergi ke mana semata-mata untuk mendapatkan seberapa banyak mata itu.

"Saya juga sebenarnya masih memerlukan sokongan daripada rakyat Malaysia. Ia akan membangkitkan semangat saya untuk menang pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik 2020," katanya lagi.

Sejak digugurkan daripada Sukan Asia, pelumba kelahiran Terengganu ini masih meneruskan sesi latihan di bawah kendalian penolong jurulatih negara, Junaidi Mohd Nasir.