Pelumba berbasikal trek wanita negara, Fatehah Mustapa, berpeluang untuk kembali berlatih di Melbourne, Australia, selepas meraih satu pingat emas dan satu perak dalam saingan Piala Berbasikal Trek Asia di New Delhi, India -- sebulan menjelang ujian penting Kejohanan Asia di Korea Selatan, bulan depan.

Fatehah mengalami kemerosotan prestasi sehingga digugurkan daripada skuad ke Sukan Asia 2018 selain dipotong elaun tetapi atlet dari Terengganu berkenaan kembali mempamerkan kebangkitan, bermula dalam Kejohanan Trek Asia Tenggara di Velodrom Nasional, Nilai, bulan lalu.

Atlet berusia 30 tahun itu terus mempamerkan rentak cemerlang apabila memastikan emas dalam acara keirin sementara perak bagi acara pecut individu di Velodrom Kompleks Indira Gandhi di New Delhi, Rabu lalu.

"Insya-Allah itu adalah salah satu sasaran saya pada tahun ini kerana saya ingin memenangi (medal) dalam ACC di Korea.

"Saya harap (ketua jurulatih negara) John Beasley, akan bawa saya kembali ke Melbourne untuk berlatih dengan rakan sepasukan kebangsaan," jelasnya.

Bagaikan dihembus nafas baru, dia akan kembali berlatih di Melbourne serta bertekad membuktikan dirinya masih lagi relevan menjelang saingan di Korea Selatan itu.

"Saya cuma mungkin ada masalah peribadi di sini (tanah air).

"Bagi saya, ini permulaan yang baik dan sebagai pemanas badan sebelum ke Korea. Saya harap dapat buat yang lebih baik lagi.

"Saya masih ada tempoh sebulan 10 hari untuk perbaiki kelemahan yang ada," katanya lagi.