Farkhan nafi enggan bertarung dengan Abdallah

Oleh Staff Writer 12 Jun 2018 2984
Farkhan nafi enggan bertarung dengan Abdallah
Peninju profesional negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron, menafikan kononnya dia enggan bertarung dengan peninju Tanzania di Axiata Arena, 14 Julai ini, apabila masih belum menandatangani kontrak pertarungan bernilai hampir RM120,000.

Farkhan akan berdepan peninju terkuat dalam karier profesionalnya, Abdallah Paziwapazi, yang memiliki rekod 21 kemenangan dan 20 KO.

Malah, lawan itu lebih berpengalaman dengan memiliki tumbukan padu yang kerap menumbangkan lawan.

Bagaimanapun, kata Farkhan, situasi itu tidak menggentarkannya, cuma dia memerlukan masa untuk meneliti butiran dalam kontrak pertarungan.

"Saya kini dalam rundingan terakhir. Sebelum saya tandatangan kontrak, ada beberapa perkara lain yang harus saya selesaikan untuk saya rujuk kepada peguam.

"Lawan sudah bagi, cuma menunggu keputusan akhir saya untuk tandatangan kontrak itu," katanya.

Apa yang menarik, Farkhan masih belum tewas selepas enam pertarungan.

Dia kini memegang tiga tali pinggang, iaitu WBC Light Heavyweight, ABC Cruiserweight dan WBC Asia Pasific Cruiserweight.

Cabaran terbesar ketika ini ialah menurunkan berat badan sebanyak 12kg dalam tempoh sebulan.

"Peninju ada displin untuk turunkan berat. Cuma, saya perlu fokus dan kalau boleh, saya mahu mendapatkan berat badan itu seminggu sebelum pertandingan," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen