Peninju profesional negara, Mohd Farkhan Haron, menyasarkan gelaran juara dunia sebelum mencecah umur 35 tahun demi melebarkan rekod kejayaannya di peringkat benua.

Keyakinan itu hadir selepas dia merangkul tali pinggang Persatuan Tinju Dunia (WBA) Asia kategori cruiserweight selepas menumbangkan Alexander Bajawa menerusi 'knock out' di Pattaya, Thailand, kelmarin.

Setakat ini, peninju berusia 31 tahun itu telah mengumpulkan empat tali pinggang, termasuk tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia kategori cruiserweight dan light heavyweight pada 2016 dan 2017 selain Persatuan Tinju Asia (ABF) dalam kategori cruiserweight, tahun lalu.

Farkhan belum puas untuk melakar kejayaan, malah bakal menghadapi Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor Bahru, November depan, untuk mempertahankan gelaran juara WBA Asia.

"Saya bertekad mengekalkan rekod tanpa kalah walaupun dalam pertarungan tidak melibatkan perebutan tali pinggang.

"Saya mahu mempertahankan gelaran WBA dan WBC Asia dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor Bahru," katanya.

Selain itu, pemenang pingat emas Sukan SEA 2009 itu berazam meletakkan dirinya dalam kelompok 15 terbaik dunia dalam misi menyertai kejohanan peringkat benua.

Ketika ini, Farkhan berada dalam kelompok 30 terbaik dunia.

"Saya hanya akan layak bertarung di peringkat kejuaraan dunia sekiranya menempatkan diri dalam kelompok 15 peninju terbaik.

"Jadi saya mahu mengekalkan kejuaraan WBC Asia dalam tempoh empat tahun lagi," katanya lagi.