Peninju profesional negara, Mohd Farkhan Haron, akan mencipta sejarah baru sekiranya menewaskan juara kategori cruiserweight Persatuan Tinju Dunia (WBA) Asia, Alexander Bajawa, dalam pertarungan di Pattaya, Thailand hujung bulan ini.

Setakat ini, dia sudah mengumpulkan tiga tali pinggang, iaitu tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia (cruiserweight) pada 2016, WBC Asia (light heavyweight) pada 2017 dan Persatuan Tinju Asia (ABF) kategori cruiserweight tahun lalu.

Farkhan turut menjelaskan kepentingan pemburuan koleksi keempatnya itu dengan berkata: "Ini soal maruah dan keinginan saya untuk terus maju dalam sukan tinju.

"Saya rasa ia merupakan peluang terbaik saya kerana saya sudah menjuarai tiga gelaran Asia sepanjang tiga tahun lalu.

"Ia juga peluang saya untuk terus menjadi peninju terbaik.

"Benar, saya pernah menewaskan peninju Indonesia itu (Alexander) dengan keputusan TKO dalam pusingan ketiga Disember lalu, namun ia bukanlah kemenangan selesa untuk dibawa ke perlawanan yang akan datang.

"Saya perlu bekerja keras kerana ia merupakan Kejohanan Asia dan segala-galanya tidak mustahil," katanya.

Mengenai cabaran bagi menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram selama dua minggu sebelum ke Pattaya, jaguh negara itu menambah: "Untuk menurunkan enam kilogram itu bukan satu masalah kerana saya pernah menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram dalam tempoh dua minggu.

"Cuma saya tidak mahu terlalu yakin sewaktu perlawanan.

"Dalam sukan tinju, tiada yang mustahil, namun keinginan kita untuk menang dan fokus dalam perlawanan adalah paling penting," tambahnya.