Pasukan Forca Amskins Racing (FAR) tetap akan mengambil bahagian dalam saingan Jelajah Asia musim ini di sebalik kelewatan pendaftaran kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Masa depan FAR menjadi tanda tanya selepas pasukan itu tidak mengemukakan pendaftaran mereka kepada UCI menerusi Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Malah, mereka juga berdepan tindakan penalti oleh UCI di samping kemungkinan hilang status sebagai pasukan bertaraf benua.

Bagaimanapun, Pengarah Sukan FAR, Faiz Syarifuddin, menjelaskan situasi itu berpunca daripada kelewatan pasukan itu mendapatkan tajaan yang diperlukan.

Dia menaruh keyakinan perkara tersebut dapat diselesaikan menerusi satu lagi perjumpaan bersama Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab, dalam tempoh terdekat.

"Dalam persiapan kami, segala dokumen telah disiapkan. Cuma dana baru diterima, jadi kami akan berjumpa presiden semula untuk berbincang kerana ia melibatkan pelumba yang kami ada. Ia penting kerana melibatkan platform buat mereka," katanya.

Mengulas mengenai persiapan pasukan itu bagi musim 2019, Faiz berkata semua pelumba tempatan masih dikekalkan sambil diterajui oleh Anuar Manan.

Pelumba import, John Ebsen serta Alvaro Duarte, juga masih diperlukan FAR selain menunggu pelepasan oleh pasukan PDRM bagi mendapatkan khidmat Nik Mohd Azwan Zulkiflie dan Amir Mustafa Rusli.

Dalam saingan Le Tour De Langkawi (LTDL) 2018, FAR mengungguli jersi merah raja bukit menerusi Duarte.

"Mungkin akan ada penambahan satu atau dua pelumba lagi bagi memperkuatkan jentera pasukan. Pelumba lain juga akan ditambah untuk membantu daripada segi latihan," tambah Faiz.