Pesilat negara, Muhammad Faizul Mohd Nasir, tidak mengambil mudah cabaran juara kebangsaan 2019 dalam Kejohanan Kebangsaan, 30 Mei ini, bagi mempertahankan kedudukannya dalam skuad negara.

Pesilat negara perlu menewaskan juara kebangsaan musim ini untuk kekal berada dalam skuad negara untuk dipertaruhkan dalam Terbuka Malaysia, Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan selain Kejohanan Dunia tahun depan.

Faizul yang pernah menyumbang pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, dua tahun lalu, bagaimanapun optimis mampu mempertahankan tempatnya dalam skuad silat negara.

Meskipun Faizul antara pesilat berpengalaman, dia mengakui ia bukan tugas mudah kerana menganggap barisan juara kebangsaan mempunyai kelebihan tersendiri.

"Kebimbangan itu adalah sesuatu yang normal memandangkan saya perlu mempertahankan kejuaraan.

"Juara kebangsaan bukannya calang-calang peserta dan mereka juga melakukan persiapan rapi.

"Tidak mustahil apa jua boleh berlaku.

"Namun, saya tetap positif selain bertekad mempertahankan kedudukan saya," kata Faizul.

Dalam masa sama, seorang lagi pesilat negara, Nor Farah Mazlan, bertekad untuk menggandakan usaha dalam misi menyumbang pingat buat Malaysia dalam penampilan pertamanya dalam Sukan SEA.

"Saya tidak dapat mengulas prestasi pesilat lain kerana tidak berlawan dengan mereka lagi.

"Tetapi saya perlu mengkaji corak pertarungan juara kebangsaan kerana saya menganggap mereka sebagai pesaing yang hebat.

"Saya perlu berhati-hati dan masing-masing akan berusaha," kata Nor Farah.