Pemerhati sukan, Dr. Mohammad Faithal Hassan, meminta Institut Sukan Negara (ISN) mendedahkan perubahan pucuk pimpinan Program Podium setelah seorang pegawai tempatan dikhabarkan semakin hampir untuk mengambil-alih tugas itu.

Program Podium yang menelan kos jutaan ringgit dikritik apabila prestasi atlet negara tidak banyak meningkat dalam saingan Sukan Komanwel Gold Coast, bulan lalu.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham, mendakwa memiliki maklumat terperinci mengenai kajian prestasi atlet negara menerusi buku setebal 500 muka surat, namun ia tidak didedahkan, sekali gus mencetuskan perdebatan adakah program termahal itu patut diteruskan atau kos dikurangkan menerusi pelantikan pegawai tempatan.

"Apa yang paling utama dalam Program Podium adalah atlet. Saya tidak nampak sekiranya ada pihak lain yang lebih penting berbanding atlet dan seharusnya mereka diberikan keutamaan dan mengetahui masa depan mereka di dalam program itu.

"Jika tidak diperlukan atau perlu melakukan sesuatu terhadap prestasi mereka, ini adalah detik terbaik untuk mengetahui tentang perubahan yang berlaku," ujarnya.

"Sekiranya pegawai tempatan diberi keutamaan untuk mengendalikan program tersebut, pemilihan pegawai yang akan menerima tanggungjawab itu hendaklah diteliti dengan bai, demi kebaikan buat ISN," tambahnya.

Sehingga kini, ISN masih menunggu pelantikan Menteri Belia dan Sukan baru sebelum melakukan pengumuman mengenai status Program Podium.